• English
  • Malay
13
DEC
2020

2020 Istirehat Panjang Ekosistem Terumbu Karang

Oleh Hasrizal bin Shaari

Pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar kepada sektor ekonomi negara. Pendapatan negara yang dijana daripada industri perlancongan mencecah RM86.14 bilion pada tahun 2019. Rentetan daripada kerancakan industri ini, pelbagai promosi telah dijalankan oleh pihak kerajaan bagi menjana lebih banyak pendapatan kepada negara.

Namun seperti perpatah yang biasa kita dengar “disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari”, momentum kemeriahan industri pelancongan yang kita jangkakan dapat diteruskan pada tahun 2020 secara tiba-tiba menjadi sendu akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Salah satu komponen industri pelancongan yang sangat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 ialah aktiviti pelancongan di pulau-pulau peranginan terkenal di dalam negara seperti Sipadan, Mabul, Redang, Perhentian dan Tioman. Pulau-pulau peranginan berkenaan diketahui umum menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negera kerana kaya dengan kepelbagaian biodiversiti terumbu karang.

Secara saintifiknya terumbu karang merupakan organisma marin yang unik kerana mempunyai ciri dwi-fungsi iaitu sebagai haiwan dan juga tumbuhan. Ciri dwi-fungsi ini terbentuk melalui hubungan simbiosis di antara koloni haiwan kecil seperti buran atau sea-anemone yang terdapat pada kerangka keras kalsium karbonat dan alga simbiotik zooxanthelae yang menjalankan proses fotosintesis.

Kehadiran zooxanthelae memberikan tona warna yang sangat indah dan menarik pada terumbu karang. 

Namun tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, keindahan terumbu karang tidak dapat dinikmati pada pembukaan musim tahun 2020 apabila beberapa siri perlaksanaan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Bermula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), diikuti perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan terbaharu perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Dari perspektif ekonomi, langkah-langkah kawalan pencegahan yang diambil oleh pihak kerajaan telah memberikan impak yang agak kritikal kepada rantaian industri pelancongan negara khususnya bagi pemain-pemain industri pelancongan setempat.

Namun, dari aspek ekologi, langkah-langkah berkenaan telah memberikan satu ruang istirehat yang panjang kepada ekosistem terumbu karang.

Tempoh istirehat ekosistem terumbu karang khususnya bagi pulau-pulau di pantai timur semenanjung Malaysia menjadi lebih panjang dengan bermulanya musim monsun timur laut atau tengkujuh.

Kebiasaannya monsun timur laut akan berlangsung di antara November dan Februari. Sepanjang berlangsungnya monsun timur laut, hampir seratus peratus penginapan dan hotel di pulau-pulau peranginan di pantai timur semenanjung Malaysia akan menutup operasi mereka.

Melihat kepada tempoh istirehat yang luar biasa panjang ini, adalah dijangkakan sebahagian besar ekosistem terumbu karang di pulau-pulau peranginan negara akan melalui satu fasa pemulihan kendiri.

Melalui kajian lapangan oleh pakar biologi terumbu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Lee Jen Nie, mendapati tempoh PKP telah memberi ruang kepada ekosistem terumbu karang untuk pulih. Menurut beliau sepanjang tempoh PKP, ikan-ikan terumbu karang kembali menjalankan fungsi pembersihan biologi mereka dengan berkesan.

Tanpa kehadiran pelancong bermakna tiada makanan luar yang diberikan kepada ikan-ikan terumbu karang.

Keadaan ini membuatkan ikan-ikan terumbu karang hanya bergantung kepada persekitaran terumbu karang untuk memperolehi makanan yang terdapat di permukaan-permukaan terumbu karang. Secara tidak langsung ianya akan membantu proses pembersihan permukaan terumbu karang secara alami.

Menurut Jen Nie lagi, proses pembersihan secara alami ini turut memberikan peluang kepada alga simbiotik zooxanthelae untuk melakukan proses fotosintesis dengan lebih efisien dan seterusnya mengwujudkan hubungan simbiosis yang lebih baik dengan simbionnya iaitu buran terumbu karang.

 Mungkin sebagai masyarakat biasa kita beranggapan bahawa memberi makan kepada ikan-ikan terumbu karang tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan kepada alam sekitar. Namun, terbukti tanggapan sebegitu adalah salah dan dengan jelas ianya boleh memberikan kesan yang negatif kepada ekosistem terumbu karang.

Biarlah ikan-ikan terumbu karang menjalankan fungsi mereka dengan berkesan bagi membantu kelestarian dan kesihatan terumbu karang di perairan kita. Sesungguhnya mereka tidak akan pernah lapar tanpa makanan luar yang kita bawa kerana ekosistem itu merupakan rumah mereka sejak dahulu lagi.

Bagi ekosistem terumbu karang, semoga tahun 2020 menjadi tempoh istirehat yang mampu memberikan ruang yang secukupnya untuk proses pemulihan kendiri.

Dan bagi kita sebagai warga alam, seharusnya kita lebih cakna dengan aktivti pelancongan yang lebih mampan demi memastikan warisan terumbu karang yang kita banggakan ini terus kekal sihat dan lestari apabila aktiviti pelancongan kembali aktif kelak.

Artikel ini telah terlebih dahulu terbit di Utusan Malaysia pada Disember 2020

Penulis merupakan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, dan Felo Penyelidik di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS)