Pengurusan Mampan Sisa Plastik Perlu Kerjasama Serantau dan Antarabangsa

Sumber: Pelan Tindakan Serantau ASEAN 2021-2025

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan peningkatan penggunaan peralatan pakai buang terutamanya plastik sekali pakai (single use plastics – SUPs). Kian banyak sisa plastik mencemar lautan, garis pantai, dan sungai di samping mempengaruhi kehidupan masyarakat pesisir pantai. Kebanyakan pencemaran plastik di laut bermula di darat Ketumpatan rendah plastik memudahkan pergerakannya dari tempat asal sehingga terkumpul di dalam putaran sistem arus laut yang besar. Memandangkan lautan tiada bersempadan fizikal, dianggarkan antara 15 ke 51 trillion kepingan plastik di dalam lautan-lautan dunia dari Kutub Utara ke Kutub Selatan, dari permukaan bumi sehinggalah ke dasar lautan. 

Plastik merupakan bahan yang tidak boleh terurai secara biologi dan boleh menjadi toksik dan berbahaya kepada alam sekitar dan juga manusia jika tidak diuruskan dengan baik. Konvensyen Basel 1989 mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan dan Pembuangan Sisa Berbahaya adalah undang-undang antarabangsa yang terpakai bagi mengatasi masalah sampah plastik. Pindaan baru-baru ini yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 dan terpakai terhadap kesemua 188 negara anggota telahpun memperkemas kawalan pergerakan sisa plastik termasuk import an eksport, serta menyenaraikan jenis-jenis plastik yang berbahaya dan perlu diasing dan dilupuskan secara mampan.

Masalah pengurusan sisa plastik di ASEAN turut berada di tahap yang membimbangkan. Pada tahun 2016, 243 juta ton sampah telah dihasilkan oleh 6 buah negara ASEAN termasuk Malaysia. Pelan Tindakan Serantau ASEAN bagi Memerangi Serpihan Laut 2021-2025 telah dilancarkan baru-baru ini untuk memandu tindakan serantau dalam menangani pencemaran plastik terutamanya untuk mengatasi masalah sisa SUPs, dan menangani punca yang membawa kepada kebiasaan dan amalan peralatan pakai buang. Memandangkan 80% pencemaran laut berpunca dari darat, penyelesaian dan koordinasi bersepadu telah dikenalpasti untuk mengatasi serpihan plastik laut pada tiga peringkat utama rantaian nilai:- 

  • Mengurangkan Input

Merancang produk agar dapat diguna atau dikitar semula, meningkatkan kesedaran perniagaan dan pengguna mengenai jejak sisa plastik mereka, menjelaskan piawai mengenai kebolehuraian secara biologi, serta mengurangkan penggunaan SUPs. 

  • Meningkatkan pengumpulan dan meminimumkan kebocoran

Menambahbaik infrastruktur utama pengurusan sisa pepejal, mempromosi langkah pengasingan yang sesuai, memperketat mekanisme penguatkuasaan untuk mengelakkan pembuangan sampah, serta memperjelaskan perlabelan pembungkusan sama ada untuk perlupusan/kitar semula. 

  • Mengwujudkan nilai bagi sisa yang diguna semula

Menjamin jumlah bahan baku, membangunkan pasaran lepas, meningkatkan pengasingan sampah pengguna, meningkatkan pengetahuan tentang teknologi yang sesuai serta meminimumkan risiko pelaburan ke atas langkah-langkah penyelesaian utama.

Komitmen negara ASEAN diperlukan untuk memastikan pendekatan bersepadu melalui 14 Tindakan Serantau untuk mengatasi pelbagai masalah plastik di sepanjang rantaian nilai mengikut 4 komponen kerangka di bawah.

Sumber: Pelan Tindakan Serantau ASEAN bagi Memerangi Serpihan Laut 2021-2025

Peranan dan Tindakan Malaysia

Malaysia sedang melaksanakan projek SEA Circular bersama tujuh negara ASEAN lain untuk mengurangkan sampah plastik melalui pengurusan rantaian nilai plastik di Asia Tenggara. Di samping itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut telah mengambil langkah pantas merangka polisi dan pelan tindakan kebangsaan bagi menangani  masalah sampah dan serpihan plastik laut yang bakal dilancarkan pada 16 November 2021.

Memandangkan pencemaran plastik di lautan mengancam hidupan dan ekosistem marin yang akhirnya akan memberi impak negatif ke atas manusia, dan kos pemulihan ternyata amat besar, masyarakat juga perlu segera diberi kesedaran untuk mengambil pelbagai langkah proaktif bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan punca masalah pencemaran ini dikawal dan diselia rapi.  Perlaksanaan Konsep 4R (Reduce, Reuse, Recycle + Refuse,) yang telah diperkenalkan di Malaysia wajib dipandang serius.

Kerajaan Negeri, terutamanya kerajaan tempatan, perlu memperluas dan memperketatkan penguatkuasaan larangan penggunaan beg plastik secara sepenuhnya. Pengurusan sisa pepejal perlu dimantapkan di semua peringkat bagi memastikan Konsep 4R betul-betul dilaksanakan tanpa sebarang pengecualian. Teknologi dan inovasi terutamanya yang dihasilkan oleh universiti tempatan untuk mengubah sisa plastik kepada tenaga, bahan binaan, dan lain-lain kegunaan patut dimanfaatkan secara lebih agresif dan meluas dengan kerjasama industri.   

Komitmen bersama dan tindakan bersepadu oleh ketiga-tiga peringkat kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan, dan pelbagai pemegang taruh ini boleh memastikan keberkesanan langkah-langkah mengatasi masalah pencemaran plastik yang diambil di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

*An earlier version of this article first appeared in Berita Harian, 13 Julai 2021

Ditulis oleh:

Prof. Dr. Wan Izatul Asma Wan Talaat, Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan Sekitaran, UMT