Sejarah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) suatu ketika dahulu terlebih dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Terengganu (KUT). KUT mempunyai peralatan oseanografi yang lengkap termasuk dua buah kapal penyelidikan persisiran pantai, peralatan saintifik serta kakitangan akademik dan sokongan yang terlatih di dalam pelbagai bidang oseanografi. Lawatan pemeriksaan pakar rujuk dari UNESCO iaitu Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) ke KUT juga telah memperakukan kekuatan oseanografi di KUT dan mencadangkan penubuhan sebuah pusat kecemerlangan iaitu Institut Oseanografi.

Memandangkan kecemerlangan dalam bidang oseanografi perlu dipertingkatkan, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Putra Malaysia di dalam mesyuaratnya pada 28 November 1988 telah bersetuju untuk menubuhkan Institut Oseanografi (INOS) di KUT.

Jemaah Menteri melalui Kementerian Pendidikan pula meminta supaya penubuhan institut ini dapat merangka perancangan penyelidikan dan latihan peringkat tertinggi dalam bidang marin, sumber asli marin dan persekitaran pesisir dan muara dan dapat dijalankan secara terfokus untuk kepentingan negara.

Akhirnya, pada 27 Mac 2001, Jawatankuasa Kecil Jabatan Pendidikan Tinggi , Kementerian Pendidikan telah bermesyuarat dan seterusnya memperakukan penubuhan Institut Oseanografi.

Mesyuarat Senat Khas kali ke-46 yang bersidang pada 29 Mac 2011 (Minit 1/46/2011) yang lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) berkuatkuasa pada tarikh tersebut. Keputusan ini diambil untuk memenuhi keperluan semasa demi kecemerlangan institut. Sehubungan dengan itu, Institut Oseanografi (INOS) kini dikenali sebagai Institut Oseanografi dan Sekitaran / Institute of Oceanography and Environment.