08
OCT
2018

Sistem Amaran Lemah Gagal Kesan Tsunami | Berita Harian | 7 Oktober 2018

Sistem Amaran Lemah Gagal Kesan Tsunami | Berita Harian | 7 Oktober 2018

Malaysia masih selamat kerana kita berada di luar kawasan lingkaran api Pasifik,” kata seorang rakan sambil menghulur telefon bimbitnya yang menunjukkan imej peta Asia Pasifik.

Lakaran bintik merah memenuhi rantaian Kepulauan Indonesia menunjukkan kawasan yang pernah dilanda tsunami. Berbentuk seperti ladam kuda, Malaysia berada di tengah lingkaran berkenaan.

Saya agak pesimis. Mana mungkin dengan kedudukan seperti itu kita boleh berasa selamat lagi. Kejadian yang melanda Sulawesi minggu lalu mengingatkan saya semula terhadap peristiwa tsunami Aceh pada 2004.

Ia sejarah pertama negara berdepan dengan korban tsunami yang turut mengakibatkan jumlah kematian besar di seluruh dunia.

Malaysia saja mencatatkan kehilangan 76 nyawa. Saintis sendiri yang membuat kajian terhadap tsunami tidak pelik dengan keadaan yang berlaku tetapi tidak pernah terbit dalam fikiran mereka bahawa impak sebegitu turut merentasi kawasan negara kita.

Kejadian 14 tahun lalu membuka mata dunia bahawa hampir setiap data cerapan paras air di seluruh dunia menunjukkan perubahan kesan tragedi berkenaan.

Penting untuk kita tahu, tsunami tidak sama seperti fenomena bencana lain seperti kesan gempa bumi mahupun taufan yang terhad pada skala geografi tertentu.

Ia satu-satunya bencana merentasi sempadan kerana gelombang tsunami di laut boleh bergerak dengan kelajuan sama seperti kapal terbang merentasi ribuan kilometer, jika tiada daratan yang menghalang.

Tidak menghairankan apabila kejadian di Aceh mengakibatkan kematian hingga ke Somalia yang beribu kilometer jauhnya dari pusat gempa.

Sistem ramalan awal

Antara isu utama yang mendapat perhatian sebaik saja tsunami melanda Sulawesi dengan angka kematian yang kini melebihi 1,200 orang ialah sistem ramalan yang gagal memberi amaran awal mengenai kehadirannya.

Agensi Meteorologi Indonesia (BMKG) sendiri bertanggungjawab memantau sistem terbabit mengakui kesilapan menarik semula ramalan awal tsunami yang dikeluarkan sebaik gempa bumi melanda.

Sistem ramalan tsunami di Indonesia yang siap pada 2008 membabitkan sensor seismograf, pelampung, alat pengukur pasang surut dan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

Namun, tiada langkah dapat meramalkan skala tsunami yang berlaku pada minggu lalu dengan ketinggian melebihi tiga meter di bandar Palu, yang terletak di selatan dari pusat gempa.

Persoalannya, apa sebenarnya yang terjadi dengan sistem berkenaan? Sebahagian besar saintis negara luar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jerman yang terbabit dalam sistem pemasangan ramalan awal tsunami mengakui ada kelemahan dalam pengurusan sistem berkenaan.

Indonesia memiliki sistem boya tsunami yang berfungsi mengesan sebarang perubahan paras laut untuk menghantar amaran kepada pusat pengurusan sistem bagi tindakan amaran. Malangnya sejak 2012, lebih 22 boya tsunami rosak berikutan tiada penyelenggaraan.

Kos pemasangan setiap boya menelan belanja lebih RM1 juta, manakala kos penyelenggaraan tahunannya mencecah RM200,000 setiap satu. Indonesia memiliki lebih 60 boya berkenaan.

Jurucakap panel pengurusan bencana Indonesia sendiri mengakui sukar menanggung kos untuk memastikan semua sistem ini berada dalam keadaan baik. Peruntukan terpaksa dikurangkan setiap tahun memandangkan ekonomi negaranya yang tidak menentu.

Kejadian di Palu mendedahkan satu lagi kelemahan besar sistem sedia ada.

Penyampaian maklumat dan amaran di kawasan yang dijangka berlaku tsunami tidak lengkap. Beberapa keperluan seperti sistem siren untuk memberi amaran kepada penduduk masih kurang selain memerlukan pelaburan yang besar untuk melengkapkannya.

Cabaran Malaysia

Beberapa hari lalu kita dikejutkan dengan laporan tiga boya tsunami milik Malaysia terpaksa dilupuskan kerana rosak, manakala kes baik pulih menjadi tinggi setiap tahun.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan, boya yang memakan kos keseluruhan RM7.2 juta itu tidak lagi berfungsi dan sering mengalami kerosakan berikutan vandalisme di laut.

Negara juga amat terkesan dengan tsunami Aceh pada 2004 sehingga sistem ramalan ini dipasang sebagai persediaan terhadap kemungkinan kejadian seumpamanya.

Malaysia sebenarnya terbabit aktif bersama-sama negara serantau dalam pembangunan kepakaran model komputer bagi mengkaji senario tsunami dan kesannya terhadap seluruh pantai di negara kita.

Meteorologi Malaysia mengambil langkah proaktif dalam mencari alternatif terhadap sistem boya amaran tsunami yang dilupuskan. Kerjasama dengan beberapa buah negara bagi mendapatkan maklumat tsunami daripada sistem ramalan negara lain turut dilaksanakan.

Sistem yang dibangunkan oleh negara seperti India, Jepun dan AS, manakala Indonesia sendiri akan membantu Malaysia jika tsunami berlaku di kawasan berhampiran negara kita.

Namun, sistem persediaan yang kita miliki masih jauh dari lengkap. Sistem ramalan tsunami satu perkara, manakala sistem penyampaian maklumat seperti siren, telefon bimbit, capaian internet serta maklum balas penduduk menjadi cabaran berbeza.

Kerajaan harus melihat perkara ini dengan lebih serius dan memastikan boya yang lupus berkenaan perlu diganti dengan penyelesaian yang lebih ampuh dan efektif.

Mentaliti bahawa kita masih selamat dari bencana alam berbanding negara jiran harus dinilai dengan perspektif berbeza. Memang kita jarang dilanda bencana tetapi dalam keadaan tidak bersedia, impaknya bakal memberi kesan mendalam terhadap masyarakat dan negara.

Pepatah Melayu ‘sudah terhantuk baru terngadah’, bunyinya tajam tetapi cukup memberi ingatan penting kepada kita.

Penulis adalah Pensyarah Oseanografi, Universiti Malaysia Terengganu