Bermula dengan Kolej Universiti Terengganu (KUT) kemudian ditukarkan kepada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) dan akhirnya dinamakan UMT. Universiti awam di pantai timur ini diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan serantau bagi kepakaran ilmu kelautan dan akuatik.

Pelbagai usaha giat dijalankan bagi memperkasakan bidang tersebut sehingga diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK menemubual Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang usaha UMT bagi meningkatkan bidang penyelidikannya sehingga meletakkan UMT sebagai pusat rujukan kecemerlangan sains marin terunggul dunia.

HELO KAMPUS: Bagaimana UMT terus menerajui penyelidikan dalam bidang oseanografi dan sains marin?

DR NOR AIENI MOKHTAR: Fokus utama pengajian dan penyelidikan UMT adalah dalam bidang oseanografi dan sains marin selaras dengan bidang tujahan universiti iaitu Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik. Peranan itu diperluas melalui peranan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT sehingga diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) pada 2012. INOS dipilih sebagai Nod Ocean Biogeographic Information System (OBIS) yang berperanan sebagai pusat pengumpulan data oseanografi Malaysia.

INOS yang dirajui Prof. Madya Dr. Aidy Mohamed Shawal M. Muslim, telah diiktiraf sebagai institut pertama di dunia yang menerima pengiktirafan Accredited IODE Associate Data Unit (ADU) bawah Suruhanjaya Oseanogafi Antara Kerajaan UNESCO (IOC-UNESCO) pada 29 Januari 2018.

INOS turut dianugerahkan Akademi Global Guru Oseanografi (OTGA) Pusat Latihan Serantau (RTC) bagi Asia Pasifik. Ia juga merupakan institusi di Asia yang menawarkan program kerjasama Ijazah Sarjana Erasmus Mundus Biodiversiti Tropika dan Ekosistem (Tropimundo) bawah tajaan dana Suruhanjaya Eropah (EC) dan dilantik sebagai rakan strategik Tropimundo pada 1 September 2014 melalui jaringan kerjasama antarabangsa yang melibatkan sembilan buah universiti dari enam buah negara Eropah.

Bawah program IOC-UNESCO di Western Pacific (Westpac) pula, INOS dan Institut Pertama Oseanografi (FIO), China telah menjalin kerjasama dalam penyelidikan penerokaan Laut China Selatan yang melibatkan penajaan geran RM1.17 juta yang meletakkan Sistem Ramalan Laut menjadi rujukan penting bagi aktiviti-aktiviti ramalan kelautan dan cuaca di Laut China Selatan.

UMT merupakan sebuah universiti yang menjurus ilmu kelautan dan sumber akuatik, bagaimana UMT menyampaikan mesej kepada masyarakat berkaitan perundangan dan polisi kelautan negara serta kelestarian sumber laut?

UMT telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan kumpulan penyelidik Kumpulan Kepentingan Khas (Special Interest Group/SIG) UMT – Tata Tadbir Oseanografi (Ocean Governance) berkaitan kelautan. Prof. Wan Izatul Asma Wan Talaat yang merupakan Ketua Penyelidikan Tadbir Urus Lautan bersama pasukannya telah memainkan peranan dalam membangunkan pusat rujukan utama bagi Kementerian Luar Negara serta berperanan memberi input tentang undang-undang pemuliharaan dan penggunaan mapan biodiversiti di kawasan luar sempadan negara, yang masih dalam peringkat rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kawasan yang mempunyai biodiversiti marin seperti terumbu karang, sumber perikanan dan mineral dasar laut yang tinggi diterokai oleh negara maju tanpa pengurusan serta perundangan yang sepatutnya. Oleh demikian, tindakan serta kawalan undang-undang kelautan dirangka bagi memberi perlindungan kepada ekosistem marin di kawasan berkaitan.

Selain itu, SIG ini juga terlibat dengan agensi lain seperti Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai penasihat berkenaan isu pengurusan laut dan sumber marin. Input-maklumat daripada penyelidikan ini membantu Malaysia dalam menyediakan kerangka polisi bagi 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terutama SDG 14 iaitu Hidupan di Lautan dalam mencapai agenda utama SDG Transformasi Dunia Kita: Agenda 2030 untuk pembangunan mapan.

UMT juga sinonim dengan penyelidikan yang berkaitan terumbu karang. Boleh Datuk jelaskan?

Terumbu karang ialah satu ekosistem marin yang unik, kompleks dan tinggi produk aktivitinya. Prof. Madya Dr. Zainuddin Bachok yang merupakan seorang pakar dalam bidang ini berserta pasukannya melaksanakan pelbagai usaha penyelidikan pemuliharaan dan kesedaran awam berkaitan terumbu karang. Ini termasuklah penentuan status litupan terumbu karang di Malaysia di Laut China Selatan, kajian struktur tropika terumbu karang yang melibatkan taburan komuniti plankton, ikan, intervertebrata dan proses pemetaan terumbu karang.

Pemetaan terumbu karang menggunakan kombinasi kaedah akustik multibeam ecosounder dan side scan sonar, penggunaan serta analisis foto udara melalui dron dan imej bawah air yang dicerap melalui kaedah transeksyen video.

Selain itu, kajian spesies komuniti terumbu karang terhadap perubahan alam sekitar dan cuaca juga sedang giat dijalankan. Ini melibatkan kajian spesifik berkaitan chemotaxonomy–chemoresilience karang; pembangunan teknologi Omic sebagai alat untuk menyelidik tahap tekanan karang, kajian tumbesaran serta pembiakan terumbu karang.

Bagaimana pula dengan penyelidikan yang berkaitan dengan penyu?

Unit Penyelidikan Penyu (Seatru) UMT telah mendapat perkenan Majlis Penasihat Santuari Penyu Negeri Terengganu pada 1993 untuk memulakan projek konservasi di Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang.

Tahun ini genap 25 tahun Seatru menetapkan misi menjadikan Pantai Chagar Hutang sebagai hab rujukan bagi ilmu berkaitan konservasi dan biologi penyu di rantau ini. Kewujudan unit ini memberi kesan atas kemandirian spesis penyu di Pulau Redang dan peningkatan penyelidikan daripada pelbagai bidang berkaitan haiwan terancam.

Dr. Mohd Uzair Rusli yang merupakan Ketua Makmal Penyelidikan Luar Seatru memberi fokus kepada penyelidikan biologi seperti pemantauan pergerakan penyu dewasa dengan menggunakan satelit, menganggar nisbah jantina anak penyu yang dihasilkan, pemodelan pergerakan anak penyu di Laut China Selatan, pemantauan pergerakan pemangsa penyu di darat iaitu biawak air dan black tip shark, kajian penggunaan tenaga anak penyu ketika naik menggali daripada sarang dan taburan teritip di karapas penyu. Tidak terhad kepada penyelidikan biologi, Seatru turut menjalankan kajian impak sosial dan potensi ekonomi kepada komuniti pesisiran pantai yang berkait rapat dengan kehadiran penyu.

Selain penyelidikan yang menjadi teras utamanya, program sukarelawan penyu juga menjadi nadi kepada kelestarian projek konservasi di stesen penyelidikan di Pulau Redang. Program yang telah diasaskan pada 1998 ini membuka ruang kepada hampir 4,000 orang awam dari dalam dan luar negara untuk terlibat sama dalam usaha konservasi ini.

Bagaimana penubuhan Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (Maltrac) pula dapat melonjakkan lagi nama UMT di persada dunia?

UMT telah mewujudkan Maltrac bagi menjalinkan hubungan kerjasama yang baik antara universiti dan industri.

Maltrac bawah kendalian Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Mohamad Rosni Othman merupakan pusat penyelidikan dan sumber data dan merupakan hasil kerja sama strategik antara The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dan UMT. Kewujudan pusat ini membantu menentukan penunjuk prestasi industri logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan di Malaysia.

Selain itu, tujuan penubuhannya juga sebagai platform dalam melaksanakan strategi pengukuhan teknologi dan pembangunan modal insan dalam ekosistem logistik dan pengangkutan; mewujudkan program pengumpulan data pengangkutan negara serta meningkatkan jaringan industri, latihan serta penyelesaian dan penjanaan kewangan.