12
AUG
2015

Mampukah sains membongkar misteri MH370 di Lautan Hindi?

“Saya sangat yakin serpihan itu datang dari MH370, ia konsisten dengan simulasi computer yang kita bangunkan setahun yang lepas”, itulah kata-kata rakan kerjasama kami dari University of Western Australia sebaik sahaja dihubungi bagi membincangkan kebarangkalain serpihan yang ditemui di Pulau Reunion itu minggu lalu.

Biarpun isu MH370 sudah lama reda sebelum ini, tetapi usaha pencarian serta kajian saintifik tidak pernah berhenti. Pemetaan dasar laut serta kajian simulasi computer dibuat bagi mengenalpasit pelbagai kebarangkalian yang ada dan yang mungkin timbul selepas itu.

Pengumuman Perdana Menteri hari ini bahawa ianya sah dari MH370 sekurang-kurangnya telah menrungkai banyak persoalan yang tidak terjawab berkenaan pesawat itu sebelum ini. Namun, ramai yang masih tertanya-tanya bagaimana serpihan berkenaan mampu bergerak sejauh 5000km dari tempat ia dipercayai jatuh. Pada pandangan umum, ia merupakan sesuatu yang agak mustahil, tetapi ilmu sains lautan menjelaskan perkara sebaliknya.

Beberapa bulan selepas MH370 hilang, banyak penemuan objek disekitar pantai Australia serta Indonesia yang dikatakan dari pesawat itu dilaporkan. Simulasi ini diusahakan bagi melihat kebarangklian yang arus laut membawa objek-objek ini ke kawasan-kawasan tersebut. Tetapi yang menariknya, walaupun dua negara ini adalah yang paling hampir dengan tempat carian, pemetaan arus laut menunjukkan bahawa ia agak mustahil untuk sampai kesana. Simulasi ramalan untuk tempoh 2 tahun itu menunjukkan dalam tempoh setahun, apa-apa serpihan yang ada hanya akan kekal bergerak dilautan kerana arus utama bakal membawa serpihan itu sedikit keutara sebelum membelok ke timur menuju benua Afrika.

Perjalanan sejauh 5000km untuk objek terapung dilautan adalah suatu yang tidak mustahil. Apatah lagi, simulasi berkenaan menujukkan trajektori serpihan menuju kearah kepulauan Madagascar merupakan indikasi penting terhadap penemuan serpihan baru-baru ini. Semuanya sangat konsisten dengan analisa saintifk yang dijalankan. Cuma pergerakan arus adalah sesuatu yang kompleks, ia tidak bergerak dalam garis lurus, tetapi

Mengikut anggaran, pergerakan arus memapu membawa objek terapung selaju 3km/jam iaitu sekitar 500km seminggu. Tetapi simulasi menunjukkan secara jelas yang arus laut tidak bergerak lurus, ia sentiasa berlekuk dan berpusar menjadikan perjalananya beberapa kaliganda lebih jauh dari jarak sebenar.

Pulau reunion yang sebelum in langsung tidak dikenali, berubah status dalam sehari apabila serpihan itu dijumpai. Kepulauan ini sangat kecil untuk dilihat didalam peta, tetapi kedudukannya yang snagat strategik ditengah-tengah aliran arus laut yang dikenali arus ekuator selatan menjadikannya sangat sesuai untuk bertemu dengan sebarang serpihan yang dibawah arus berkenaan.

Pada tahun 1996, sebanyak 30,000 kasuk berjenama antarabangsa jatuh dari kontena di Lautan Pasifik, beberapa bulan berikutnya kasut-kasut ini terdampar di pesisir pantai Amerika Syarikat, dan setahun selepas itu beberapa kasut ditemui di Filipina, dan kemudian di Jepun. Ia merupakan indicator penting terhadap upaya arus laut dalam membawa objek terapung untuk jarak yang jauh.

Persoalan lebih besar adalah, berdasarkan petunjuk yang ada, bagaimana pencarian boleh dilakukan semula? Penemuan ini tidak sesekali memudahkan pencarian, tetapi ia tetap penting. Sekurang-kurangnya, jarak pergerakan dan tempoh 17 bulan itu memberi petunjuk yang serpihan itu dating dari kawasan berhampiran tempat carian sebelum ini.

Sebahagian saintis biologi marin juga percaya teritip diatas serpihan itu boeh dikaji bagi menentukan sekitaran tertentu untuk spesis berkenaan tumbuh. Ini secara tidak langsung mampu mengecilkan lagi skop pencarian memandangkan Lautan Hindi juga terbahagi kepada kawasan yang mempunyai sekitaran yang sejuk diselatan dan panas berhampiran ekuator.

Sejak dari hilangnya MH370, kawasan seluas 4 kali ganda Malaysia telah ditterokai melalui carian udara. Kemudian, pemetaan dasar laut dengan keluasan 120,000km persegi telah dilakukan menjadikannay pencarian lautan yang paling besar dan termahal dalam sejarah. Pencarian baru sekiranya ingin diusahakan bakal lebih sukar dan perlu menerokai kawasan yang lebih luas. Namun petunjuk baru ini setidak-tidaknya memberi suntikan positif.

“Saya tidak pernah percaya spekulasi MH370, sebab saya yakin kalau kita mampu jelaskannya melalui kefahaman sains, pasti suatu petunjuk akan muncul”, kata-kata rakan kerjasama saya di Australia itu membuat saya terdiam dan merenung sejenak. Spekulasi tidak pernah berhenti sejak MH370 hilang dan ia tidak membawa membawa kita kemana-mana. Bila carian bermula semula, yang pasti kita akan kembali berpaksi kepada alat yang sangat mampan, iaitu ilmu pengetahuan dan sains.

Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir
Penyelidik INOS UMT

Diterbitkan di Berita Harian 6/8/2015